Surah al-Kahfi 28-34
28. Bersabarlah kamu bersama orang yang menyeru Tuhan mereka ketika pagi dan petang. Mereka hanya mengharapkan keredaan Allah. Oleh itu janganlah kamu sombong terhadap mereka kerana mengejar kesenangan hidup dunia; dan janganlah engkau menta’ati orang yang lalai hatinya daripada mengingati Kami dan menurut hawa nafsunya, serta tingkahlakunya yang melampaui batas.
29. Dan Katakanlah: Kebenaran itu datang dari Tuhan kamu, maka barang siapa mahu beriman, berimanlah dia; dan barang siapa mahu kufur, kufurlah dia. Sesungguhnya Kami sediakan bagi orang yang zalim api neraka, yang meliputi mereka; dan jika mereka meminta minuman, mereka diberi minum dengan air seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruk minuman itu, dan amatlah buruk tempat penginapan mereka.
30. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih itu, Kami tidak akan sia-siakan pahala amalan baiknya.
31. Bagi mereka syurga Adn, yang mengalir dibawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang dari emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang halus dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berteleku di atas pelamin-pelamin. Itulah sebaik-baik ni’mat dan tempat penginapan yang sebaik-baiknya.
32. Terangkan kepada mereka kisah dua orang lelaki, di mana seorang dari mereka di anugerah dua buah kebun anggur. Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
33. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tidak dikurangi sedikit pun dari hasil itu; dan Kami mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
34. Tuan kebun itu memperolehi keuntungan yang banyak; lalu berkatalah ia kepada rakannya dalam satu perbincangan bersamanya:Aku lebih banyak harta daripada kamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut yang ramai.