Sunday, November 7, 2010

Surah al-Kahfi 28-34

Surah al-Kahfi 28-34
28. Bersabarlah kamu bersama orang yang menyeru Tuhan mereka ketika pagi dan petang. Mereka hanya mengharapkan keredaan Allah. Oleh itu janganlah kamu sombong terhadap mereka kerana mengejar kesenangan hidup dunia; dan janganlah engkau menta’ati orang yang lalai hatinya daripada mengingati Kami dan menurut hawa nafsunya, serta tingkahlakunya yang melampaui batas.
29. Dan Katakanlah: Kebenaran itu datang dari Tuhan kamu, maka barang siapa mahu beriman, berimanlah dia; dan barang siapa mahu kufur, kufurlah dia. Sesungguhnya Kami sediakan bagi orang yang zalim api neraka, yang meliputi mereka; dan jika mereka meminta minuman, mereka diberi minum dengan air seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruk minuman itu, dan amatlah buruk tempat penginapan mereka.
30. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal salih itu, Kami tidak akan sia-siakan pahala amalan baiknya.
31. Bagi mereka syurga Adn, yang mengalir dibawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang dari emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang halus dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berteleku di atas pelamin-pelamin. Itulah sebaik-baik ni’mat dan tempat penginapan yang sebaik-baiknya.
32. Terangkan kepada mereka kisah dua orang lelaki, di mana seorang dari mereka di anugerah dua buah kebun anggur. Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
33. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tidak dikurangi sedikit pun dari hasil itu; dan Kami mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
34. Tuan kebun itu memperolehi keuntungan yang banyak; lalu berkatalah ia kepada rakannya dalam satu perbincangan bersamanya:Aku lebih banyak harta daripada kamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut yang ramai.

Surah al-isra' 28-49

Surah al-Isra’ ayat 28-49
28. Dan jika kamu berpaling dari mereka, kerana mencari rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka ucapkanlah kepada mereka dengan kata-kata yang lembut.
29. Dan janganlah kamu lipatkan tanganmu di lehermu, dan janganlah pula menghulurkannya dengan seluas-luasnya, maka akan tinggallah kamu dalam keadaan tercela lagi menyesal.
30. Sesungguhnya Tuhan kamu meluaskan rezeki dan menyempitkannya kepada siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
31. Janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu dosa yang besar.
32. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.
33. Dan janganlah kamu membunuh seseorang yang Allah haramkan pembunuhannya melainkan yang dibenarkan oleh syara’. Dan barang siapa dibunuh secara tidak adil, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya hak menuntut balas secara tidak melampaui batas. Sesungguhnya dia berhak mendapat pertolongan.
34. Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan secara baik, sehinggalah dia baligh. Penuhilah janji, sesungguhnya janji itu akan ditanya.
35. Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Itulah yang baik dan sebaik-baik kesudahan.
36. Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.
37. Jangan kamu berjalan di bumi ini dengan sombong, sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi, dan tidak akan sampai setinggi gunung.
38. Setiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.


39. Perintah yang demikian itu adalah sebahagian dari hikmat yang telah diwahikan kepadamu oleh Tuhanmu. Oleh itu janganlah engkau menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain, akibatnya engkau akan dicampak dalam Jahanam dengan keadaan tercela dan tersingkir.
40. Adakah Tuhanmu memilih anak lelaki untukmu dan untuk-Nya anak perempuan dikalangan malaikat? Sesungguhnya kamu berkata dusta yang amat dahsyat.
41. Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi peringatan dalam al-Qur'an ini agar mereka sentiasa beringat; tetapi mereka makin menjauhkan diri.
42. Katakan wahai Muhammad: Kalaulah ada tuhan-tuhan lain bersama Allah, sebagaimana dakwaan mereka, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah yang memiliki Arasy.
43. Maha Suci lagi Maha Agung Allah dari apa yang mereka katakan itu.
44. Tujuh langit, bumi dan sekalian yang ada di dalamnya bertasbih. Tiada sesuatupun melainkan bertasbih memuji-Nya;akan tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, lagi Maha Pengampun.
45. Apabila kamu membaca al-Qur'an, Kami jadikan suatu dinding yang tertutup di antara kamu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat.
46. Kami juga menutup hati mereka serta menyumbat telinga mereka supaya tidak memahami al-Qur’an. Apabila kamu menyebut nama Tuhanmu di dalam al-Qur'an, mereka berundur melarikan diri.
47. Kami lebih mengetahui tujuan mereka mendengar al-Qur'an ketika kamu memperdengarkan bacaanmu, sedang mereka berbisik-bisik, dimana orang yang zalim itu berkata: Kamu sekalian tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir.
48. Lihatlah bagaimana mereka membuat perbandingan terhadapmu, maka dengan sebab itu mereka sesat, dan tidak dapat mencari jalan kebenaran.
49. Dan mereka berkata: Apakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, kita akan dibangkitkan semula dengan ciptaan baru?