Thursday, September 30, 2010

Surah al-Anbiya' Ayat 82-112

Surah al-Anbiya’ Ayat 82-112


82. Baginya juga Kami mempermudahkan sebahagian dari syaitan-syaitan untuk menyelam, dan lain-lain kerja. Kami mengawal mereka daripada melanggar perintahnya.
83. Adapun Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, dan Engkau Maha Penyayang di antara segala penyayang.
84. Kami perkenankan doanya, lalu Kami sembuhkan penyakitnya. Kami kembalikan kepadanya keluarganya, dan Kami tambahkan sekali ganda lagi bilangannya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi hamba-hamba Kami.
85. Begitu juga dengan Ismail, Idris dan Zulkifli; semuanya adalah dari orang yang sabar.
86. Kami masukkan mereka dalam rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari golongan orang salih.
87. Adapun Dhun-Nun, ketika dia meninggalkan kampung halamannya dalam keadaan marah, lalu menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak mampu mengenakan kesusahan keatasnya; berdoa dalam kegelapan: Bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang menganiaya diri sendiri.
88. Maka Kami kabulkan doanya, dan selamatkan dia dari kesusahan. Begitulah Kami akan selamatkan orang yang beriman.
89. Dan Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan aku bersendirian, dan Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi.
90. Kami juga perkenankan doanya, dan kurniakan kepadanya Yahya, serta Kami perelokkan keadaan isterinya. Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. Mereka sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan dan ketakutan. Mereka juga sentiasa tunduk dan patuh kepada Kami.
91. Adapun perempuan yang telah menjaga kehormatannya iaitu Maryam; Kami tiupkan padanya ruh ciptaan Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda kehebatan Kami bagi manusia.
92. Sesungguhnya inilah agama umat kamu, agama yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka perhambakanlah diri kamu kepada Aku.
93. Tetapi mereka masih berselisihanan sesama mereka dalam urusan agama; sedangkan mereka semuanya akan kembali kepada Kami.
94. Barang siapa beramal solih, sedang dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya. Sesungguhnya Kami telah mencatatnya.
95. Penduduk kampung yang Kami musnahkan tetap akan kembali kepada Kami untuk menerima balasan.
96. Sehingga apabila tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj dibuka dan mereka pun turun dari setiap tempat yang tinggi.
97. Dan ketika hampir ketibaan masa perjanjian sebenar, iaitu hari Kiamat, maka serta-merta terbeliak pandangan mata orang kafir, mengeluh: “Aduhai sialnya kami. Sesungguhnya kami telah lalai perihal ini, bahkan kami telah menjadi orang yang zalim. 98. Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu menyembah, selain dari Allah, adalah bahan-bahan bakaran neraka; kamu pasti akan memasukinya.
99. Kalaulah mereka itu benar-benar tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam neraka; dan setiap mereka kekal di dalamnya.
100. Mereka tidak mendengar di dalamnya melainkan rintihan kesakitan.
101. Sesungguhnya orang yang telah berjaya memperoleh kebaikan dari Kami akan di jauhkan dari neraka itu.
102. Mereka tidak akan mendengar suara julangan api neraka itu, sebaliknya mereka akan kekal selama-lamanya sebagaimana yang diingini oleh jiwa mereka.
103. Huru-hara besar yang amat mengerikan itu tidak merunsingkan mereka, dan mereka disambut oleh para malaikat seraya berkata: Inilah hari yang telah dijanjikan kepada kamu di dunia dahulu.
104. Ingatlah hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana Kami mulakan kewujudan sesuatu, Kami ulangi kewujudannya lagi; satu perjanjian yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami pasti melaksanakannya.
105. Sesungguhnya, Kami telah menyebut di dalam Zabur sebagaimana terdapat dalam Lauh Mahfuz: Bahawa bumi akan di warisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih.
106. Sesungguhnya al-Qur'an ini mengandungi keterangan jelas bagi orang yang menta’ati Allah.
107. Dan tidaklah Kami utuskan kamu, melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
108. Katakanlah: Sesungguhnya diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Esa, maka adakah kamu menurut apa yang diwahikan itu?
109. Sekiranya mereka berpaling maka katakanlah: Aku telah menjelaskan kepada kamu dengan jujur;dan aku tidak mengetahui akibat yang dijanjikan itu sudah dekat atau masih jauh.
110. Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan perkataan yang kamu keluarkan, dan juga Dia maha mengetahui apa yang kamu sembunyikan di hati.
111. Dan aku tidak mengetahui apakah balasan itu suatu ujian bagi kamu, dan memberi kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu.
112. Dia berkata: Ya Tuhanku, hukumkanlah dengan adil; dan Tuhan kami Maha Pemurah yang dipohon pertolongan-Nya atas apa yang kamu sekalian sifatkan itu.