Thursday, September 30, 2010

Surah al-Ra'ad Ayat 29-34

29. Orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.


30. Demikianlah, Kami utuskan engkau wahai Muhammad kepada satu umat, sebagaimana diutuskan kepada umat-umat sebelumnya, supaya engkau membacakan kepada mereka apa yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka inkar akan Tuhan yang Maha Pemurah. Katakanlah: Dialah Tuhanku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. KepadaNyalah aku bertawakkal dan kepadaNya tempat kembaliku.


31. Kalaulah terdapat Kitab Suci yang menyebabnya gunung-ganang bergerak dari tempatnya atau dengan bumi terbelah atau orang mati dapat bertutur, maka al-Quranlah yang bersifat demikian. Hal seperti itu adalah urusan Allah. Apakah orang-orang yang beriman itu tidak mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki tentulah Dia memberi petunjuk kepada manusia seluruhnya. Orang-orang kafir pula, disebabkan perbuatan mereka, akan sentiasa ditimpa bala bencana ke atas diri atau harta benda mereka; atau pun bala bencana itu menimpa berhampiran dengan tempat tinggal mereka, sehinggalah datang qiamat, janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

32. Sesungguhnya Rasul-rasul sebelummu wahai Muhammad telahpun diejek-ejekkan, lalu Aku biarkan orang-orang kafir itu ke suatu masa, kemudian Aku mengambil tindakan keatas mereka. Betapa seksanya azabKu itu.


33. Bukankah Dia berkuasa mengawas apa yang dilakukan oleh setiap jiwa, yang patut di sembah? Dalam pada itu, mereka yang kafir telah menjadikan makhluk sebagai sekutu bagi Allah. Katakanlah wahai Muhammad: Namakanlah sekutu-sekutu itu. Atau adakah kamu hendak memberitahu Allah akan apa yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan kata-kata yang zahir sedang pada hakikatnya tidak demikian? Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan bagi orang-orang yang kafir itu akan kejahatan mereka dan mereka juga disekat daripada menurut jalan yang benar. Dan barangsiapa disesatkan oleh Allah, maka tiada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat kepadanya.


34. Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi. Tiada sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari azab Allah itu.

Surah al-Anbiya' Ayat 82-112

Surah al-Anbiya’ Ayat 82-112


82. Baginya juga Kami mempermudahkan sebahagian dari syaitan-syaitan untuk menyelam, dan lain-lain kerja. Kami mengawal mereka daripada melanggar perintahnya.
83. Adapun Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, dan Engkau Maha Penyayang di antara segala penyayang.
84. Kami perkenankan doanya, lalu Kami sembuhkan penyakitnya. Kami kembalikan kepadanya keluarganya, dan Kami tambahkan sekali ganda lagi bilangannya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi hamba-hamba Kami.
85. Begitu juga dengan Ismail, Idris dan Zulkifli; semuanya adalah dari orang yang sabar.
86. Kami masukkan mereka dalam rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari golongan orang salih.
87. Adapun Dhun-Nun, ketika dia meninggalkan kampung halamannya dalam keadaan marah, lalu menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak mampu mengenakan kesusahan keatasnya; berdoa dalam kegelapan: Bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang menganiaya diri sendiri.
88. Maka Kami kabulkan doanya, dan selamatkan dia dari kesusahan. Begitulah Kami akan selamatkan orang yang beriman.
89. Dan Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan aku bersendirian, dan Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi.
90. Kami juga perkenankan doanya, dan kurniakan kepadanya Yahya, serta Kami perelokkan keadaan isterinya. Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. Mereka sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan dan ketakutan. Mereka juga sentiasa tunduk dan patuh kepada Kami.
91. Adapun perempuan yang telah menjaga kehormatannya iaitu Maryam; Kami tiupkan padanya ruh ciptaan Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda kehebatan Kami bagi manusia.
92. Sesungguhnya inilah agama umat kamu, agama yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka perhambakanlah diri kamu kepada Aku.
93. Tetapi mereka masih berselisihanan sesama mereka dalam urusan agama; sedangkan mereka semuanya akan kembali kepada Kami.
94. Barang siapa beramal solih, sedang dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya. Sesungguhnya Kami telah mencatatnya.
95. Penduduk kampung yang Kami musnahkan tetap akan kembali kepada Kami untuk menerima balasan.
96. Sehingga apabila tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj dibuka dan mereka pun turun dari setiap tempat yang tinggi.
97. Dan ketika hampir ketibaan masa perjanjian sebenar, iaitu hari Kiamat, maka serta-merta terbeliak pandangan mata orang kafir, mengeluh: “Aduhai sialnya kami. Sesungguhnya kami telah lalai perihal ini, bahkan kami telah menjadi orang yang zalim. 98. Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu menyembah, selain dari Allah, adalah bahan-bahan bakaran neraka; kamu pasti akan memasukinya.
99. Kalaulah mereka itu benar-benar tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalam neraka; dan setiap mereka kekal di dalamnya.
100. Mereka tidak mendengar di dalamnya melainkan rintihan kesakitan.
101. Sesungguhnya orang yang telah berjaya memperoleh kebaikan dari Kami akan di jauhkan dari neraka itu.
102. Mereka tidak akan mendengar suara julangan api neraka itu, sebaliknya mereka akan kekal selama-lamanya sebagaimana yang diingini oleh jiwa mereka.
103. Huru-hara besar yang amat mengerikan itu tidak merunsingkan mereka, dan mereka disambut oleh para malaikat seraya berkata: Inilah hari yang telah dijanjikan kepada kamu di dunia dahulu.
104. Ingatlah hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana Kami mulakan kewujudan sesuatu, Kami ulangi kewujudannya lagi; satu perjanjian yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami pasti melaksanakannya.
105. Sesungguhnya, Kami telah menyebut di dalam Zabur sebagaimana terdapat dalam Lauh Mahfuz: Bahawa bumi akan di warisi oleh hamba-hamba-Ku yang salih.
106. Sesungguhnya al-Qur'an ini mengandungi keterangan jelas bagi orang yang menta’ati Allah.
107. Dan tidaklah Kami utuskan kamu, melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
108. Katakanlah: Sesungguhnya diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Esa, maka adakah kamu menurut apa yang diwahikan itu?
109. Sekiranya mereka berpaling maka katakanlah: Aku telah menjelaskan kepada kamu dengan jujur;dan aku tidak mengetahui akibat yang dijanjikan itu sudah dekat atau masih jauh.
110. Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan perkataan yang kamu keluarkan, dan juga Dia maha mengetahui apa yang kamu sembunyikan di hati.
111. Dan aku tidak mengetahui apakah balasan itu suatu ujian bagi kamu, dan memberi kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu.
112. Dia berkata: Ya Tuhanku, hukumkanlah dengan adil; dan Tuhan kami Maha Pemurah yang dipohon pertolongan-Nya atas apa yang kamu sekalian sifatkan itu.

Tuesday, September 14, 2010

Surah Maryam : 12-38

Surah Maryam Ayat 12-38

12. Wahai Yahya, berpegang teguhlah Kitab itu. Dan Kami telah berikan kepadanya kebijaksanaan ketika dia masih kanak-kanak lagi;
13. sebagai suatu kurniaan dari Kami, yang memberi manfaat berterusan; dan dia adalah seorang yang bertaqwa,
14. berbuat baik kepada ibu bapanya, dan dia tidak pula sombong serta derhaka.
15. Oleh itu sejahteralah dia pada hari dia diperanakkan, dan pada hari kematiannya, serta pada hari dia dihidupkan semula.
16. Nyatakanlah kisah hidup Maryam yang terdapat di dalam al-Qur'an, tatkala dia memencilkan diri dari keluarganya di suatu tempat sebelah timur.
17. Di sana Maryam mencegah manusia dari menziarahinya; lalu Kami utuskan kepadanya Jibril menjelma dalam bentuk seorang lelaki yang sempurna.
18. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah yang Maha Pemurah daripada gangguanmu; jauhi aku jika engkau seorang yang bertaqwa.
19. Dia menjawab: Sebenarnya aku diutuskan Tuhanmu, supaya memberimu seorang putera yang mulia.
20. Maryam bertanya: Bagaimana aku beroleh seorang putera, sedang aku tak pernah disentuhi oleh seorang lelaki pun, dan aku tak pernah lakukan kejahatan?
21. Jibril menjawab: Begitulah perutusanTuhanmu. Hal itu mudah bagi Allah dan menjadikannya sebagai satu tanda kehebatanNya untuk manusia, dan sebagai satu rahmat dari Allah; dan yang demikian pasti dilaksanakan.
22. Maka Maryam pun hamillah, lalu memencilkan dirinya ke suatu tempat yang jauh.
23. Apabila tiba waktu hampir bersalin, Maryam bersandar ke pangkal pohon tamar; sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!
24. Ketika itu dia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
25. Dan goncangkanlah pohon tamar itu, agar buah tamar yang masak gugur
26. Lalu makan dan minumlah dari anak sungai, serta bertenanglah . Jika engkau melihat seseorang, katakanlah: Sesungguhnya aku sedang berpuasa nazar kerana Tuhan yang Maha Pemurah; oleh itu pada hari ini aku tidak akan berbicara dengan sesiapa.
27. Setelah melahirkan anaknya, Maryam kembali kepada kaumnya bersama anaknya. Mereka berkata: Hai Maryam! Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar
28. Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang jahat, dan ibumu pula bukanlah seorang pelacur!
29. Maryam segera mengalihkan pandangannya ke arah anaknya. Mereka berkata: Bagaimana kami boleh berbicara dengan bayi kecil?
30. Bayi Maryam terus menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah yang memberikan kepadaku Kitab Injil, dan menjadikan aku sebagai Nabi,
31. melimpahkan ke atas aku keberkatan di mana saja aku berada, dan memerintahkan aku melaksanakan solat dan zakat selagi aku hidup.
32. Serta mentaati dan berbakti kepada ibuku, dan Allah tidak menjadikan aku bersifat angkuh lagi jahat.
33. Oleh itu kesejahteraanlah ke atasku pada hari kelahiranku, pada hari kematian aku, dan pada hari aku dibangkitkan hidup semula.
34. Itulah Isa anak Maryam. Maklumat benar yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.
35. Tidak patut bagi Allah mempunyai anak. Maha Suci Dia. Apabila Dia mahukan sesuatu, maka hanya dengan Dia berkata: Jadi, lalu jadilah ia.
36. Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhan kamu sekalian. Oleh itu perhambakanlah diri kamu kepadaNya, inilah jalan yang benar.
37. Kaumnya berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang kafir itu pada hari qiamat nanti.
38. Ketika datang mengadap Kami, mereka mengiktiraf apa yang mereka mendengar dan melihat sebelum ini. Tetapi orang yang zalim pada waktu di dunia berada dalam kesesatan yang nyata.

Surah Taha : 77-87

Surah al-Taha Ayat 77-87

77. Sesungguhnya Kami perintahkan Musa: “ Pergilah engkau bersama hamba-hambaKu sehingga apabila bertemu dengan laut, pukullah permukaan laut dengan tongkatmu, nescaya terbelah menjadi suatu jalan yang kering bagi mereka; janganlah engkau bimbang daripada musuh akan menghampirimu, dan jangan pula engkau takut akan ditenggelam.

78. Firaun bersama bala tenteranya yang mengejar mereka diliputi air laut lalu menenggelamkan mereka semua.

79. Firaun telah menyesatkan kaumnya, dan dia tidak mendapat petunjuk.

80. Wahai Bani Israil! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan kamu di sebelah kanan Gunung Tursina itu; dan Kami turunkan kepada kamu hidangan Mann dan Salwa.

81. Makanlah benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, di mana ianya akan menyebabkan kemurkaan-Ku ke atas kamu. Barang siapa ditimpa kemurkaan-Ku, binasalah dia.

82. Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang bertaubat yang beriman dan beramal solih, kemudian dia teguh menurut petunjuk.

83. Wahai Musa! Apakah yang menyebabkan kamu mendahului kaummu datang ke sini?

84. Musa menjawab: Mereka itu mengiringi aku; dan aku datang kepada-Mu lebih cepat, wahai Tuhanku, supaya Engkau restui aku.

85. Allah berkata: Sesungguhnya Kami telah menguji kaummu sepeninggalanmu, tetapi mereka telah disesatkan oleh Samiri.

86. Musa pun kembali kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; lalu berkata: Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah membuat suatu perjanjian yang baik dengan kamu? Apakah kamu merasa beban menerima perjanjian itu? Atau kamu sengaja mahukan kemurkaan Tuhan menimpa ke atas kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu dengan aku?

87. Mereka menjawab: Kami tidak menyalahi perjanjian kami denganmu itu dengan sengaja, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang Mesir itu, lalu kami mencampakkannya ke dalam api sebagai penebus dosa kami. Begitu juga Samiri mencampakkan apa yang dibawanya.